Sunday 22 November 2015

FANA’ MENURUT WACANA BADIUZZAMAN SAID NURSI DALAM MENCAPAI KESEMPURNAAN HIDUP TAMADUN MANUSIA.


Nur Syazana binti Adam1
Syed Hadzrullathfi bin Syed Omar2

1Calon sarjana Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu,
2Ph.D, Profesor Madya, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Dan Ketamadunan Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu,- Pengarang Penghubung

ABSTRAK

Fana’ didefinisikan sebagai suatu kesedaran yang tinggi dan ingatan yang kuat yang tertumpu hanya kepada Allah SWT hingga ingatan kepada yang lain menjadi tumpul seolah-olah tiada dalam ingatan. Manakala konsep tamadun yang digalakkan dalam Islam ialah memakmurkan bumi secara komprehensif yang merangkumi tanggungjawab membangunkan masyarakat, memperkuatkan ummah secara menyeluruh dan menegakkaan keadilan hukum Allah SWT. Walau bagaimanapun, artikel ini cuba mengetengahkan elemen konsep fana’ yang ditonjolkan oleh Badiuzzaman Said Nursi, iaitu salah seorang tokoh sufi dan negarawan abad ke-20M dalam mencapai kesempurnaan hidup bertamadun. Metode analisis kandungan dilakukan bagi memperolehi data yang diperlukan untuk dianalisis. Kajian mendapati istilah fana’ yang difahami oleh Badiuzzaman Said Nursi banyak dicorak oleh pemikiran kesufian Sheikh Ahmad Sirhindi dan Sheikh Abdul al-Qadir al-Jilani. Konsep fana’ menurut al-Nursi bukan hanya tertumpu kepada Allah SWT malah lebih bersifat komprehensif. Beliau juga dilihat memahami bahawa konsep fana’ berdasarkan pandangan tokoh kajian adalah releven untuk disamakan dengan konsep wahdah al-wujud yang difahami oleh tokoh-tokoh sufi muktabar, iaitu wujud Allah Yang Esa dan bukan suatu penyatuan dalam diri manusia. Kajian menyimpulkan bahawa istilah wahdah al-wujud yang digunapakai oleh tokoh sufi muktabar adalah sebenarnya merujuk kepada makna wahdah al-shuhud, bukannya merujuk kepada makna hulul dan ittihad yang telah difahami oleh golongan ajaran sesat dan menyeleweng yang menyifatkan Allah SWT sebagai sama dan bersatu dengan makhluk.

Kata Kunci: Fana’, Tamadun, Badiuzzaman Said Nursi, Wahdah  al-Wujud, Wahdah al-shuhud.




Pendahuluan

Amalan fana’ merupakan salah satu cabang amalan yang diamalkan oleh pengamal tarekat dalam disiplin ilmu tasawuf. Amalan tersebut bukan sesuatu yang asing berdasarkan kaca mata dalam kalangan tokoh sufi  kerana fana’ dianggap sebagai satu jalan untuk mencapai ma’rifat Allah dan amalan tersebut diiringi dengan baqa’ billah. Meneliti kajian literatur, kebanyakannya menumpukan kajian terhadap konsep dalam amalan fana’ , pandangan tokoh sufi muktabar terhadap konsep tersebut  di samping mengetengahkan pembahagiannya dalam amalan fana’ .
           Meneliti pelbagai definisi fana’ dalam disiplin ilmu tasawuf yang dikemukakan dalam karya-karya tokoh sufi, fana’ boleh dirumuskan sebagai suatu tumpuan ingatan dan perasaan yang hanya tertumpu kepada Allah SWT tanpa memberi tumpuan kepada keadaan sekeliling hingga tidak sedar dengan apa yang berlaku. Menurut Othman berdasarkan pandangan Ibn Khaldun bahawa dari sudut aplikasi, fana’ hanya dapat difahami dengan tepat dan dirasa selok-beloknya apabila seseorang pengamal tarekat itu melalui setiap perjalanan kerohanian yang terdapat dalam tarekat.
           Artikel ini bertujuan mengkaji pandangan seorang tokoh sufi dan negarawan iaitu Badiuzzaman Said Nursi berkaitan dengan aplikasi konsep fana’ dalam kesempurnaan hidup bertamadun pada abad ke-20. Beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang amat mementingkan agama dalam kehidupan sehingga mampu menjadikan beliau seorang yang berpengaruh dalam bidang agama di samping menjadi pencetus kehidupan bertamadun pada zamannya. Ketokohan beliau dalam kedua-dua bidang tersebut menjadi contoh kepada masyarakat Turki sehingga ke hari ini khususnya dan umat Islam seluruhnya. Bagi mencapai obkektif kajian, metode analisis kandungan dilaksanakan dengan meneliti karya-karya al-Nursi terutamanya Risalah al-Nur. Oleh sebab itu, kenyataan tentang latar belakang pemikiran tasawuf tokoh secara ringkas diperlukan dalam pendahuluan untuk artikel ini.
           Badiuzzaman Said Nursi ialah Said bin Mirza dan Nuriyah.  Kedua ibubapa beliau berasal dari salasilah keturunan ahli al-bayt yang mana Mirza berasal dari keturunan Hasan bin Ali r.a. dan ibunya dari keturunan Husain bin Ali r.a.. Al-Nursi merupakan seorang tokoh tasawuf dan negarawan telah dilahirkan pada tanggal 1877 di sebuah kampung bernama “Nurs” yang terletak di timur Anatolia. Beliau telah meninggal dunia pada waktu pagi 23 Mac 1960M dan beliau membesar dalam suasana kesufian kerana ayahnya merupakan seorang sufi. Beliau merupakan anak keempat dari tujuh adik beradik iaitu Durriyah, Hanim, Abdullah, Said (Nursi), Muhammad, Abdul al-Majid dan Marjan . Kecerdikan beliau terserlah apabila mampu mengalahkan beberapa orang ulama terkenal dalam majlis perbahasan pada usia 16 tahun. Oleh sebab itu, beliau diberi gelaran Badiuzzaman (kekagungan zaman). Beliau seorang yang berpandangan jauh dan mampu mengenal pasti isu-isu kerosakan dan penyelewengan yang berlaku dalam tamadun manusia pada ketika itu antaranya ialah kejahilan dalam mengenal Allah SWT, Nabi s.a.w., tidak menghiraukan agama, kemiskinan dan perpecahan. Kerana itu, beliau cuba meniup semangat keilmuan dalam masyarakatnya di samping memberi perhatian terhadap agama, ekonomi dan menekankan kepentingan persatuan dan kesatuan .


Fana’ Menurut Pemikiran Badiuzzaman Said Nursi

Menurut al-Nursi seseorang tidak akan memahami konsep tasawuf sehingga dia mengikuti setiap disiplin ilmu tersebut, memberi seluruh tumpuan hanya kepada ma’rifah Allah serta  membebaskan diri dari belenggu dunia.  Tasawuf menurut al-Nursi berbeza dengan ahli sufi pada hari ini. Pada pandangan beliau, tasawuf bukanlah matlamat akhir perjalanan kesufian malah tasawuf sebagai jalan untuk mempraktikkan al-Quran dan memahami kandungannya.
           Menurut Imam Muhammad Abduh iaitu salah seorang murid al-Afghani, tasawuf juga termasuklah memperkecilkan pandangan terhadap kebesaran dunia supaya mampu memandang rendah terhadapnya sebagaimana al-Nursi disifatkan oleh beliau sebagai seorang yang zuhud dan melihat kehidupan dunia dalam keadaan susah dan senang adalah sama kerana dalam apa keadaan sekali pun, matlamatnya adalah sama iaitu menyuntik nilai Islam, bersatu padu dan semangat keilmuan dalam masyarakat dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan dan al-Quran sebagai panduan  hidup .
           Metode tasawuf al-Nursi juga berbeza dengan kebanyakan ahli sufi pada zamannya kerana mereka tidak memanfaatkan penggunaan akal dengan semaksimum mungkin sebagaimana nasihat mereka kepada para murid: “berdirilah kamu di antara kaki sheikh seumpama kedudukan jenazah di antara orang yang memandikannya” .
           Konsep fana’ dalam disiplin ilmu tasawuf menurut al-Nursi ialah hilang kesedaran ingatan terhadap keadaan sekeliling. Konsep  fana’ pada pandangan beliau bukan hanya tertumpu pada Allah SWT tetapi secara komprehensif sebagaimana dinukilkan oleh Jamal al-Din al-Afghani (tokoh sufi abad ke-19) : “fana’ pada ciptaan Allah SWT ialah dengan mempelajari, meneliti jalan-jalan kebahagiaan dan kesejahteraan”. 
          

Perkaitan Antara Fana’, Wahdah al-Wujud dan Wahdah al-Shuhud  

Menurut Ibn Arabi (tokoh sufi abad ke-12), dalam keadaan fana’, perbuatan sufi adalah perbuatan Allah SWT dan digambarkan seperti cermin.  Contohnya di dalam al-Quran Allah SWT menciptakan burung dari tanah liat melaui Isa a.s .
           Sheikh Abd al-Ghani al-Nablusi (1731M) (Abdul Majid 2011: 9) dan Awhaduddin al-Balyani (tokoh sufi abad ke-17) menjelaskan bahawa konsep wahdah al-wujud  bermaksud tidak ada yang wujud selain dari Allah SWT. Walaupun makhluk wujud, namun kewujudannya ialah melalui wujudnya Allah SWT.
           Manakala konsep wahdah al-shuhud menurut Sheikh Ahmad Sirhindi ialah pengalaman kesatuan antara Allah SWT Yang Esa dengan makhluk adalah berbentuk subjektif dan hanya dapat dirasai oleh sufi yang telah mencapai fana’ fi Allah. Konsep ini dapat dicapai dengan keyakinan tinggi iaitu ‘ain al-yaqin yang boleh difahami dengan keyakinan seseorang bahawa adanya bintang ketika adanya matahari pada waktu siang.
           Di samping itu, Al-Nablusi menegaskan bahawa wujud Allah SWT ialah wujud Yang Esa yang tidak boleh dibahagi-bahagi dan ditukar ganti, zat Allah SWT adalah mutlak, bebas dari kualiti, kuantiti, arah, tempat dan masa. Ini bertentangan dengan konsep hulul (Allah menjelma dalam jisim sesuatu makluk) dan ittihad (Allah bersatu dengan makhluk).
           Berdasarkan pandangan Ibn Arabi dan Sheikh Ahmad Sirhindi, al-Nursi berpandapat wujud alam semesta memang tidak dapat dinafikan kerana alam ini sebagai instrumen untuk mengingati Allah SWT. Dapat difahami bahawa ketiga-tiga konsep ini mempunyai perkaitan yang kukuh walaupun secara literalnya kelihatan berbeza.


Pengaruh Tokoh Dalam Pemikiran Sufi Badiuzzaman Said Nursi

Pada Jun 1918, al-Nursi kembali semula ke Istambul kerana pada masa itu, timbul pelbagai masalah dalam masyarakat Islam di sana. Setelah beberapa tahun berlalu iaitu pada tahun 1924, kerajaan Uthmaniah  mengalami kejatuhan dan memberi kesan yang mendalam kepada diri beliau dan menjadi permulaan kemunduran kepada masyarakat Islam Turki.
            Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk mengembalikan kekuatan dan kehebatan masyarakat serta mengembalikan ketamadunan Islam sebagaimana beberapa tahun sebelumnya . Pendekatan yang digunakan ialah dengan menjadikan tiga ayat terakhir dari Surah al-Fatihah sebagai panduan dalam mencapai matlamat dan menukilkannya untuk disampaikan kepada masyarakat. Al-Nursi yang menguasai ilmu tafsir menghuraikan kandungan ayat tersebut dan menukilkannya dalam Rasail al-Nur.
            Dalam penulisannya, aliran pemikiran spiritual al-Nursi banyak dipengaruhi oleh Sheikh Abd al-Qadir al-Jilani (tokoh sufi abad ke-12) dan Sheikh Ahmad Sirhindi (Imam Rabbani, abad ke-17) serta beberapa tokoh sufi yang lain, iaitu sebagai sumber penyelesaian masalah kerohanian beliau. Akhirnya, setelah meneliti doktrin tokoh-tokoh tersebut, beliau mula sedar tentang kepentingan  al-Quran sebagai panduan utama dalam kesempurnaan hidup.
           Walaupun al-Nursi terpengaruh dengan dua tokoh sufi besar tersebut, namun beliau dilihat lebih cenderung terhadap doktrin tarekat Naqshabandiyyah yang dipelopori oleh Sheikh Ahmad Sirhindi yang merupakan tokoh sufi abad ke-18 dan 19 yang berasal dari India. Ini kerana dalam penulisan Risalah al-Nur, beliau banyak menyandarkan pandangan terhadap doktrin kesufian Sheikh Ahmad Sirhindi. Selain itu, al-Nursi lebih cenderung merujuk pandangan Sheikh Ahmad Sirhindi apabila  timbul permasalah yang berbangkit. Beliau menganggap Sheikh Ahmad Sirhindi sebagai pejuang dan matahari dalam tarekat Naqshabandiyyah.


Kesempurnaan Hidup Bertamadun Yang Dianjurkan Islam

Tamadun dalam Islam bermaksud pencapaian manusia dari sudut kerohanian, kebendaan, senibina, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, kepercayaan, undang-undang dan politik yang bersumberkan akidah yang betul, syariat dan akhlak yang teraskan al-Quran dan al-Sunnah Nabi s.a.w.
           Kesempurnaan tamadun yang digariskan dalam Islam mestilah menepati ciri-ciri berikut. Antaranya ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT, al-Quran sebagai sumber pensyaratan, kesederhanaan dan keseimbangan terhadap rohani dan jasmani dalam hidup, menyeluruh; tidak terikat dengan bangsa dan zaman, ideal dan realistik, tetap pada matlamat serta anjal pada pelaksanaannya. 
           Selain itu, untuk membina sebuah tamadun yang teguh, Islam menekankan empat elemen penting secara bersepadu untuk mengelak kepincangan dalam masyarakat iaitu pembangunan jasmani dengan menjaga penampilan dan kesihatan tubuh badan, pembangunan emosi yang seimbang dan stabil berdasarkan keperluan masa dan keadaan,  pembangunan rohani yang merangkumi hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia dan pembangunan intelek iaitu individu yang cerdik, cergas  dan akal yang waras agar dapat melahirkan sifat berwawasan, dedikasi, inovatif, proaktif dan sebagainya yang amat diperlukan dalam kemajuan sesebuah tamadun.  Keempat-empat elemen tersebut adalah terjemahan dari sifat Nabi s.a.w dalam membentuk sebuah negara yang bertamadun.


Elemen Fana’ Dalam Hidup Bertamadun

Selain terkenal dengan bidang agama khususnya tasawuf, al-Nursi juga seorang tokoh yang terkenal dengan aliran pemikiran Islam kontemporari. Contonya tentang isu “keyakinan yang benar” yang menggabungkan syariat Islam, ilmu moden yang saintifik dan mengemukakan hujah-hujah yang tepat mampu menyangkal falsafah materialistik yang hanya menghancurkan tamadun sesebuah bangsa.
           Tujuannya ialah untuk memperbaharui gaya pemikiran dan keimanan masyarakatnya pada masa itu. sebagaimana kata al-Nursi:
“Sesungguhnya penyelesaian paling mudah untuk menjaga tabiat baik yang menjadi
 fitrah manusia daripada kerosakan ialah mendidik mereka dengan didikan 
Islam yang komprehensif”.
            Berdasarkan pandangan Sheikh Abdul Qadir dan Sheikh Ahmad Sirhindi, al-Nursi menukilkan dalam Rasail al-Nur untuk mencapai kesempurnaan tamadun dalam sesebuah masyarakat ialah dengan mengukuhkan kepercayaan terhadap akidah dan berpegang teguh dengan rukun-rukun Islam dengan menjadikan al-Quran sumber rujukan asas.
            Hal ini menunjukkan bahawa, al-Nursi menerap nilai fana’ yang terkandung dalam disiplin ilmu tasawuf untuk mencapai kesempurnaan hidup bertamadun sebagaimana yang digariskan dalam Islam dengan menggunakan pendekatan kerohaian iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT, menjadikan al-Quran sebagai panduan, memupuk perpaduan di samping menyeimbangkan rohani dan jasmani dalam kehidupan.


Kesimpulan

Fana’ menurut Badiuzzaman Said Nursi ialah tumpuan ingatan yang menyeluruh bukan hanya tertumpu kepada Allah SWT malah lebih dari itu. Manakala konsep fana’, wahdah al-wujud dan wadah al-shuhud berdasarkan pandangan-pandangan tokoh sufi muktabar secara umumnya memberi maksud yang sama iaitu penyaksian terhadap kewujudan keesaan Allah SWT. Al-Nursi banyak terpengaruh dengan aliran pemikiran Sheikh Ahmad Sirhindi dan Abd al-Qadir al-Jilani namun di antara keduanya, beliau lebih cenderung terhadap Sheikh Ahmad Sirhindi. Konsep kesempurnaan tamadun menurut Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT, al-Quran sebagai panduan, kesederhanaan dan keseimbangan terhadap rohani dan jasmani dalam hidup dan sebagainya. Oleh itu, al-Nursi menjadikan elemen fana’ sebahagian daripada nilai kerohanian dalam pembentukan kesempurnaan hidup bertamadun.





Thursday 12 November 2015

Perlu ke Selalu Balik Jenguk Mak Ayah di Kampung????


Bismi Allahi al-Rahmani al-Rahiim..

Perlu ke?? Of course la perlu..Nape?? Bile time call mak ayah kata sunyi rumah, xde orang dekat rumah...paham-paham la, mak ayah kata gitu sebab nak bagitaw xde orang dekat rumah, balik la...mak ayah selalu macam tu, xnak terlalu mendesak dan menyusahkan anak-anak, harap kita anak-anak ni faham.

Al-maklum, anak-anak sibuk memanjang, kalah menteri-menteri, 24 jam ade je nak buat..kesian mak ayah tunggu anak-anak balik jenguk. Cuba bayang dan selami hati mak ayah. Contohnya one day, bila kita dah tua dan anak-anak yang selalu ade dengan kita waktu kecil bila dah besar jauh dari kita. Mesti kita selalu teringat-ingat anak-anak nie.

Tak timbul isu homesick or what so ever bila seseorang anak tu selalu balik rumah. Jangan ingat dia saje-saje je nak balik. Kita mungkin tak taw, dia ada rasa "tanggungjawab" kepada mak ayah, sahut seruan untuk berbakti kepada mak ayah  dan sebagainya.

Ingat!! Jangan condem kalau ada kenalan kita yang selalu balik kampung jenguk mak ayah dia. Sepatutnya kita pun kena contohi sebab kita tak taw sampai bila kita ada peluang untuk jumpa mak ayah dekat dunia nie...

#mogaAllahpangjangkanumurmaknayah#
Bukan nak bebel..tapi sebagai ingatan untuk kita semua dan khas untuk diri sendiri jugak.. :D