Thursday 1 November 2012

Kelebihan Mengingati Mati


Nabi s.a.w. bersabda; maksudnya:
“Banyakkanlah mengingati sesuatu yang menghancurkan kenikmatan, iaitu kematian.”
(Riwayat At-Tarmidzi dan An-Nasai)


Firman Allah S.W.T.:
(( كل نفس ذآئقة الموت وإنما توفون أجوركم يوم القيمة فمن زحزح عن النار وأدخل الجنة فقد فاز وما الحيوة الدنيآ إلا متع الغرور ))
Maksudnya:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah Berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesaran) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali Imran 3: 185)

(( قل إن الموت الذى تفرون منه فإنه ملقيكم ثم تردون إلى علم الغيب والشهدة فينبئكم بما كنتم تعملون ))
Maksudnya:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 62: 8) 

(( أينما تكونوا يدرككم الموت ولو كنتم فى بروج مشيدة وإن تصبهم حسنة يقولوا هذه من عند الله وإن تضبهم سيئة يقولوا هذه من عندك قل كل من عند الله فمال هؤلآء القوم لا يكادون يفقهون حديثا ))
Maksudnya:
“Di mana jua kamu berada, Maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan ( kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada pada Mu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran) ? ” (An-Nisa’; 4: 78)

Nabi s.a.w. bersabda; maksudnya:
“Cukuplah kematian itu sebagai penasihat.”
(Riwayat At-Thabrani dan Al-Baihaqi)

“Banyakkanlah mengingati mati, maka sesungguhnya ia membersihkan dosa dan menjadikan benci (kemewahan) dunia, jika kamu mengingatinya di samping kekayaan, maka ia akan merobohkannya, dan jika kamu mengingatinya di samping kefakiran maka ia akan menjadikan reda dengan kehidupan (ekonomi) mu.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

“Manusia yang paling zuhud (benci kemewahan dunia) adalah orang yang tidak lupa kubur dan kerosakan, dia meninggalkan kepentingan perhiasan kehidupan dunia, lebih memilih yang abadi daripada yang rosak, tidak mengira hari-hari esoknya dan menyediakan dirinya untuk menyambut kematian.” (Riwayat Al-Baihaqi dan Ad-Dhahhak)

            Rasul s.a.w. menyuruh umatnya supaya banyak mengingati mati kerana apabila kita memerhati dan renungkan tentang konsepnya, ia member manfaat yang besar dalam kehidupan seharian kita. Antaranya ialah:
1-      Setiap kali menarik nafas selalu mengingati Allah serta merenungi kebesaranNya dan bersyukur atas semua kenikmatan yang telah diberikan.
Firman Allah S.W.T.:
(( الذين ءامنوا وتطمئن قلوبهم بذكر الله ألابذكر الله تطمئن القلوب ))
Maksudnya:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tanteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’du; 13: 28)

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, maksudnya:
“Ada empat perkara yang siapa pun diberinya, maka sungguh dia telah diberi kebaikan dunia dan akhirat, iaitu lisan yang selalu berzikir kepada Allah S.W.T., hati yang bersyukur, badan yang sabar ujian dan isteri yang tidak mengkhianatinya kerana takut kepada dirinya dan tidak pada hartanya.” (Riwayat At-Thabrani dari Inbu Abbas)

“Allah Yang Maha Luhur dan Agung berfirman: ‘Aku seperti apa yang diprasangka  hambaKu kepadaKu, Aku bersamanya jika dia mengingatiKu, jika dia mengingatiKu di jiwanya, maka Aku mengingatinya dalam ZatKu, jika dia mengingatiKu dalam masyarakatmanusia, maka Aku mengingatinya dalam masyarakat di kalangan mereka, jika dia mendekatiKu satu jengkal, maka Aku mendekatinya satu dzira’ , jika dia mendekatiKu satu dzira’, maka Aku mendekatinya satu ba’ (panjang dua dzira’ manusia ditambah dua lengannya dan panjang dadanya), dan jika dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku datang padanya dengan berlari’.” (Riwayat Bukhari)

            Kita akan merasa Allah S.W.T. hampir dengan kita apabila mengingatinya pada setiap saat. Bagi merasa kehadirannya di sisi, kita seharusnya memerhati tanda-tanda kekuasaanNya yang meliputi seluruh ciptaan makhlukNya termasuk keagungan kejadian diri kita sendiri kerana setiap ciptaanNya penuh dengan rahsia-rahsiaNya yang tersendiri sama ada kita mempu untuk menyingkapnya dengan pancaindra atau tidak. Dengan pemerhatian tersebut, ia  dapat memberi panduan kepada kita agar kembali ke jalanNya.

            Contohnya kita merenung situasi orang yang buta. Siapakah yang telah memandunya langkahnya untuk berjalan mencari jalan pulang ke rumahnya?, gunung yang tinggi hingga mencecah awan, siapa yang menciptkannya?, proses kejadian manusia di dalam rahim ibu, siapakah yang menjaganya dan memberinya makan? serta pelbagai contoh lain yang dapat kita perhatikan sebagai bukti betapa ajaib dan agungnya ciptaan Allah S.W.T bagi sesiapa yang mahu membuka mata, telinga, minda dan pintu hati. Sekiranya kita tidak boleh melihatNya, yakinlah bahawa Dia melihat kita.   
Allah S.W.T. telah berfirman:
(( وإذا سألك عبادى عنى فإنى قريب أجيب دعوة الداع إذا دعان فليستجيبوا لى واليؤمنوا بى لعلهم يرشدون ))
Maksudnya:
“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan Aku serta beriman kepadaKu supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah; 2: 186)

(( لله ما فى السموت وما فى الأرض وإن تبدوا ما فى~ أنفسكم أو تخفوه يحاسبكم به الله فيغفر لمن يشآء ويعذب من يشآء والله على كل سئ قدير ))
Maksudnya:
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah S.W.T. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang menghendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Baqarah; 2:284)

2-      Sentiasa menjadikan setiap perbuatan , perkataan dan tindakan berlandaskan hukum syara’ yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Contohnya berusaha untuk meninggalkan perbuatan dan tingkah laku yang termasuk dalam kategori haram dan makruh malah meningkatkan amalan ibadah wajib dan sunnah yang mempunyai nilai ibadah dan pahala di sisi Allah S.W.T.

3-      Segera bertaubat dengan mengucapkan istighfar ketika melakukan kesalahan dan berbuat dosa. Apabila dosa itu berkait dengan manusia, maka segera memohon kemaafan dengan penuh ikhlas kerana Allah S.W.T.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik umatku adalah mereka yang ketika melakukan kesalahan memohon keampunan, ketika berbuat baik gembira dan ketika musafir meringkaskan solat dan berbuka puasa.” (Riwayat At-Thabrani)

4-      Aktif melakukan perkara yang memberi nilai pelaburan untuk masa akan datang seperti membina institusi pendidikan, menyediakan peluang pekerjaan bagi para penganggur dan fakir miskin serta mencipta karya intelektual yang boleh dipelajari oleh generasi masa depan.

5-      Aktif berjuang menegakkan agama Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.:
(( لا يستوى القعدون من المؤمنين غير أولى الضرر والمجهدون فى سبيل الله بأمولهم وأنفسهم فضل الله المجهدين بأمولهم وأنفسهم على القعدين درجة وكلا وعد الله الحسنى وفضل الله المجهدين على القعدين أخرا عظيما ))        (( درجت منه ومغفرة ورحمة وكان الله غفورا رحيما ))
Maksudnya:
“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah S.W.T. (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah S.W.T. melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar. Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya dan keampunan serta rahmat belas kasihan dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasihani.” (An-Nisa’; 4: 95-96)

(( يأيها الذين ءامنوا إن تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم ))
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad; 47: 7)

No comments:

Post a Comment